Tuesday, May 10, 2005

batu sungai

Excerpt from Airmata Adam, Chapter 17: Hanim Dan Adam


Di atas meja kecil di dalam bilik itu, terletak batu sungainya. Adam mencapai batu yang hanya sebesar biji durian itu, Bila digenggam batu itu terasa dingin, dia membuka genggamannya dan mengamati batu itu. Bujur yang tidak sempurna ia berlantai menirus dan membucu tumpul di hujungnya manakala hujung yang berlawanan lebih membulat seperti biji durian, berlekuk dan retak tetapi licin di makan dek air sungai; warnanya putih berbelak kuning oren, lutcahaya seperti marmar jingga.

Adam membasahkan batu itu di bilik air kemudian melihatnya di tingkap, membiarkan matahari memancar di atas batu di tapak tangannya. Kenyit cahaya matahari berpantulan di lapisan air pada muka batu, terangnya matahari menembusi batu lutcahaya itu membalikkan setiap garis unjuran pada sebelah dalam batu, menyerakkan setiap tona pada spektrum putih, kuning, jingga, bagai marmar Taj Mahal, bagai jed jingga maharaja purba, di tangannya adalah jauhar sungai dan tuntung. Biar dimamah usia, dilontar ke lumpur, kering di atas meja, sekali air dan mentari menyapanya, cahayanya yang samar terbit semula.

Ingatan Adam terlontar ke zaman anak-anak, berpalit selut, bermandian di sungai sambil melihat tuntung berenang. Zaman tanpa desakan, tanpa airmata, (melainkan dirotan bapanya kerana tidak pulang maghrib, itupun jarang sekali) tanpa kekusutan jiwa.

Adam tidak ingat mengapa dia mengutip batu itu dulu. Ketika ini batu itulah satu-satunya harta yang paling berharga, tanda ingatan seorang Adam dulu yang bahagia dan tidak gentar pada kehidupan. Adam memasukkan batu itu dalam koceknya, dingin batu melintas denim dirasai oleh kulit pahanya, lalu melangkah keluar dari biliknya untuk ke warung.